Apr 20, 2011

Syarat guru naik pangkat

2011/03/10

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk kepada SMS ‘Avim (BHA33634)’ mengenai peluang guru KPLI sekolah rendah untuk naik pangkat tipis, seperti yang tersiar dalam ruangan Rakan@bh pada 9 dan 10 Disember lalu.

SMS itu menimbulkan persoalan bilakah guru lulusan KPLI sekolah rendah berpeluang menjadi guru besar dan nasib KPLI sekolah rendah untuk naik pangkat kurang cerah berbanding guru KPLI sekolah menengah.

Jawatan kenaikan pangkat hakiki Gred DGA32 dan DGA34 bagi jawatan Guru Besar, Penolong Kanan dan Penyelia Petang di sekolah rendah diperuntukkan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.

Bagi mana-mana guru PPPLD yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah kemudian dilantik Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 dan dikekalkan di sekolah rendah, tertakluk kepada laluan kenaikan pangkat PPPS.

Guru yang memohon dan memenuhi syarat kenaikan pangkat boleh dipertimbangkan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Syaratgurunaikpangkat/Article/

Guru lama dakwa susah naik pangkat

2011/03/29
SAYA kecewa kerana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) seolah-olah terlepas pandang terhadap masalah guru lama yang dilayan seperti guru baru mengajar di sekolah rendah.

Saya mewakili ramai yang seangkatan dengan saya mengharapkan KPPK membawa perkara ini ke atas. Sekolah saya sendiri menerima guru yang akan dinaikkan ke skim DGA32, yang baru saja genap berkhidmat selama 10 tahun.

Bagi kami yang sudah mengajar selama berbelas tahun ini, langsung tidak diberikan peluang kenaikan pangkat dan tidak layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat menjadi penolong kanan.
Kami bukanlah guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), J-QAF atau guru yang baru dilantik. Pengalaman kami mengajar melebihi 10 tahun sebelum ini langsung tidak diperjuang oleh mana-mana pihak termasuk KPPK.

Sebelum naik ke skim DG41, kami dilantik ke dalam skim KUP DGA32 tetapi ketika itu kami tidak mendapat peluang kenaikan pangkat.

Harapan saya, semoga KPPK memperjuangkan hak kami untuk kenaikan pangkat. Pada tahun lalu dan tahun ini, terlalu banyak guru muda dilantik sebagai penolong kanan.

ABANG CHOR, Ipoh, Perak.
source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurulamadakwasusahnaikpangkat/Article/

Kenakan syarat penempatan serupa bagi pemohon GSTT, KPLI, DPLI

2011/03/10

SAYA ingin mengemukakan pendapat berhubung isu pengambilan guru. Sebagai ibu bapa dan masyarakat sudah tentu kita ingin insan yang terbaik untuk mendidik anak kita.

Isu pelajar bidang pendidikan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tidak dapat menjadi guru tetap harus diberi perhatian terlebih dulu. Begitu juga kesukaran penempatan pelajar bidang pendidikan institut pengajian tinggi awam (IPTA) dewasa ini.

Mengambil kira syarat untuk memohon masuk ke Institut Pendidikan Guru ketika ini, sekurang-kurangnya tiga subjek cemerlang dan tiga subjek kepujian diperlukan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Syarat ini juga perlu dikenakan kepada pemohon Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), KPLI dan DPLI agar kualiti mereka setara.

Saya bersetuju jika pengambilan program GSTT, DPLI dan KPLI ini untuk menyeimbangkan peratusan gender dalam bidang pendidikan. Bilangan guru lelaki yang sedikit boleh menyebabkan kesukaran dalam beberapa bidang tugas seperti penjagaan sistem siar raya, padang, inventori barang dan sebagainya.

Penempatan GSTT, DPLI dan KPLI yang baru ini dicadangkan di kawasan pedalaman. Beri peluang pula kepada guru yang sudah bertahun di pedalaman yang memohon ditukarkan ke tempat asal mereka.

Kerap kali kita mendengar GSTT sudah lama mengajar dan berpengalaman, mampu mengajar guru baru, mendapat pujian pengetua dan sebagainya. Ini masanya menguji siapa guru sejati, tinggalkan ibu bapa, suami, isteri dan anak kerana cita-cita menjadi pendidik berdedikasi.
SANG ALGOLJO,
Merlimau, Melaka.

source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KenakansyaratpenempatanserupabagipemohonGSTT_KPLI_DPLI/Article/