May 25, 2010

Lesen naik taraf guru sebagai profesional

2010/05/24

SAYA ingin menarik perhatian pembaca mengenai cadangan Kementerian Pelajaran iaitu guru wajib mendapatkan lesen perguruan yang menyamai amalan bidang profesional seperti kedoktoran dan undang-undang.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Saya berpendapat, sebelum membantah semua cadangan, ada baiknya kita perhalusi rasional cadangan itu. Daripada pandangan kasar, cadangan itu seperti menambah beban guru. Tentu ada guru yang berkata, jika sudah ada ijazah, apa perlunya lesen?

Sudah bertahun-tahun guru melalui NUTP memperjuangkan pelbagai isu perguruan; gaji, bonus, perjawatan dan beban tugas. Bagi saya, isu lesen perguruan membantu menyelesaikan masalah itu pada jangka masa panjang.

Jika perlu mendapat lesen, guru tergolong dalam kumpulan profesional seperti doktor, jurutera, arkitek dan peguam. Selepas itu, barulah guru tidak boleh disuruh membuat kerja tidak berkaitan kerana sebagai tenaga profesional, mereka harus membuat tugasan berkaitan bidang tugasnya saja, bukan bidang lain seperti perkeranian.

May 24, 2010

Tip Kerjaya: Guru kerjaya mulia

Oleh Mohd Yahya Mohamed Ariffin
mohdyma@um.edu.my

HARI guru disambut meriah pada Ahad lepas. Penulis ingin mengucapkan selamat hari guru dan sekalung terima kasih kepada semua warga guru, khususnya mereka yang pernah mendidik saya sama ada di sekolah mahupun universiti.

Tanpa guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan dan mendidik anak-anak murid hingga berjaya ke peringkat pengajian tinggi, mereka tidak mungkin menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ini bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa-Terima Kasih Cikgu.

Maka tidak hairanlah begitu banyak institusi perguruan didirikan malah kini wujud sebuah universiti perguruan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.

May 17, 2010

Ganjaran KPI guru

Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2010/05/17

MUHYIDDIN  bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (lima dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom  bergambar dengan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan di UMP, Kuantan, semalam.
MUHYIDDIN bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (lima dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bergambar dengan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan di UMP, Kuantan, semalam.
Imbuhan RM900 hingga RM7,500 jika berjaya lonjak prestasi sekolah

KUANTAN: Sempena Hari Guru semalam, kerajaan mengumumkan ganjaran RM900 hingga RM7,500 kepada pengetua, guru besar dan guru sekolah rendah serta menengah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, mulai tahun ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata jika kecemerlangan diteruskan dan mereka berjaya mencapai KPI setiap tahun, ganjaran akan diberikan setiap tahun. Beliau berkata, ia selaras konsep mengutamakan pencapaian menerusi satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru yang memberi sumbangan penting kepada rakyat dan negara.

Bakal guru KPLI wajib ditemuduga

2010/05/17

SURUHANJAYA Perkhidmatan Pelajaran (SPP) merujuk surat Ibu Prihatin dari Pahang yang disiarkan di ruangan ini pada 6 Mei lalu bertajuk Guru Lepasan KPLI Tidak Wajar Jalani Temu Duga Pelantikan.

Untuk makluman Ibu Prihatin, SPP bertindak sebagai pihak berkuasa melantik dalam perkhidmatan pelajaran dengan menjalankan tugasnya mengikut Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan. Antara jawatan yang diuruskan oleh SPP untuk pelantikan tetap ke dalam perkhidmatan pelajaran ialah jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA29. Pelantikan ke jawatan di sektor awam adalah tertakluk kepada calon memenuhi syarat skim perkhidmatan bagi jawatan berkenaan.

Antara syarat yang diwajibkan untuk pelantikan tetap sebagai PPPS Gred DG41 ialah calon hendaklah memiliki diploma pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Banyak institusi mengendalikan kursus diploma pendidikan, antaranya Kementerian Pelajaran di Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Kaedah dan tatacara yang digunakan oleh pihak kementerian memilih calon yang layak untuk mengikuti kursus perguruan adalah ditetapkan sendiri oleh agensi berkenaan.
Selepas lulus diploma pendidikan, calon boleh memohon untuk pelantikan ke jawatan tetap PPPS Gred DG41. Dalam hal ini SPP menggunakan kaedah temu duga bagi memilih calon yang berkelayakan untuk pelantikan ke jawatan tetap.

Tujuan temu duga adalah memilih calon yang berkualiti dan berketrampilan untuk dilantik ke jawatan tetap.

Urusan temu duga yang dikendalikan SPP tidak saja berpandukan kepada skim perkhidmatan tetapi juga menilai dari aspek profesionalisme guru itu sendiri.

Temu duga untuk mengikuti kursus perguruan tidak sama dengan temu duga untuk lantikan tetap. Lulus kursus perguruan bukan satu jaminan bahawa calon layak dilantik ke jawatan tetap.

SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN,
Putrajaya.

source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BakalguruKPLIwajibditemuduga/Article/

May 12, 2010

360 guru UK diambil ajar Bahasa Inggeris

2010/05/12

SIBU: Seramai 360 guru yang juga penutur jati bahasa Inggeris dari United Kingdom akan didatangkan ke Malaysia bulan depan untuk melatih guru Bahasa Inggeris di negara ini sebagai persediaan ke arah pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata guru terbabit akan menjadi guru pakar yang memberi latihan pengajaran Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan termasuk melalui pendekatan seni bahasa serta pembelajaran yang lebih interaktif.

"Semua guru ini adalah guru terlatih dalam Bahasa Inggeris yang akan dikhususkan untuk mengajar guru opsyen mata pelajaran terbabit."

May 11, 2010

Syarat kelayakan kursus perguruan tak dilonggar

2010/05/11

KUALA LUMPUR: Syarat kelayakan dalam permohonan kemasukan kursus perguruan tidak akan dilonggarkan untuk mencapai nisbah 50 peratus calon lelaki pada sesi pengambilan Jun depan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, perkara itu tidak timbul kerana bilangan pemohon lelaki yang memenuhi merit kelayakan ditetapkan adalah mencukupi, malah terpaksa bersaing sesama mereka berikutan jumlahnya melebihi kuota diperuntukkan.

“Sebelum ini, perempuan lebih ramai menjadi guru kerana sebahagian besar permohonan adalah daripada mereka, bukan disebabkan calon lelaki gagal memenuhi syarat kelayakan. Walaupun jumlah permohonan lelaki lebih rendah berbanding perempuan, bilangan yang layak tetap ramai dan mencukupi (untuk mengisi kuota 50 peratus).

May 7, 2010

Guru lepasan KPLI tidak wajar jalani temu duga pelantikan

2010/05/06

ANAK saya seorang guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), dan melaporkan diri di sebuah sekolah kebangsaan pada 1 Ogos 2008.

Pada temu duga perlantikan pertama, dia gagal, bagaimanapun, bagi temu duga kali kedua, dia lulus. Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) kemudian melantik anak saya pada 1 September 2009, iaitu setahun dari tarikh beliau melapor diri.

Berikutan tempoh perlantikan itu, bermakna anak saya mengalami kerugian kira-kira RM10,000 dan hilang kekananan dan lambat setahun untuk dapat ‘time base’ bagi DG44 dan DG48.

Apakah dasar yang diguna oleh SPP mesti menemuduga guru, semata-mata untuk membuat pelantikan, adakah ia satu dasar yang baik?

May 4, 2010

Kementerian tapis ketat calon KPLI

2010/05/03
KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat ANN M, Kuala Lumpur bertajuk 'Lima kali mohon KPLI tak dilayan' yang disiarkan ruangan ini 17 April lalu.

Bagi permohonan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), syarat dan kelayakan asas serta syarat tambahan untuk menduduki Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) dan temu duga adalah berpandukan kepada dasar serta keperluan Kementerian Pelajaran yang berbeza pada setiap tahun.

Untuk Ambilan Jun 2010, antara syarat dan kelayakan asas diperlukan ialah umur tidak melebihi 35 tahun pada 28 Jun 2010; memiliki ijazah sarjana muda yang diiktiraf kerajaan; memiliki kepujian Bahasa Melayu pada peringkat SPM/SPMV atau prinsipal Bahasa Melayu pada peringkat STPM dan lulus Bahasa Inggeris pada peringkat SPM/SPMV.

Kerajaan kaji naikkan elaun, naik taraf kuarters guru di pedalaman

2010/04/26

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan menaikkan elaun tambahan guru-guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman terutama di kawasan yang dikategorikan sebagai pedalaman 2 (P2) dan pendalam 3 (P3), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada langkah yang ditimbangkan kerajaan bagi memastikan guru-guru di kawasan itu yang kebanyakannya terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan yang sewajarnya.