Sep 20, 2019

Subsidi percutian untuk kakitangan awam Sarawak

KUCHING: Kakitangan awam Sarawak akan menikmati kemudahan subsidi percutian sekali dalam tempoh perkhidmatan sebagai menghargai sumbangan, komitmen serta dedikasi mereka dalam menjayakan transformasi kerajaan negeri.
Sumber berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jaul Samion dalam surat pekeliling yang dikeluarkan Selasa lalu memaklumkan, mereka yang layak menikmati kemudahan itu ialah pegawai lantikan tetap dan berpencen.
Turut menikmati kemudahan itu, pegawai lantikan tetap yang memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pegawai lantikan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC).
Pegawai lantikan Kontrak Jangka Panjang hingga umur persaraan wajib yang dilantik selepas 1 Julai 1978 dan yang menyandang Jawatan Gred Utama ‘A’VU6 dan ke bawah juga layak mendapatkan subsidi berkenaan.
“Subsidi percutian sekali dalam tempoh perkhidmatan itu juga dinikmati pegawai yang berkhidmat genap atau lebih 20 tahun, pegawai yang mencapai usia genap 50 tahun, tiada rekod tindakan tatatertib dan tidak diisytiharkan muflis ketika permohonan untuk mendapatkan subsidi itu dibuat.
“Mereka layak diberikan subsidi sebanyak RM3,000 dan dibayar secara ‘one off’ oleh kementerian atau jabatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, pegawai atau kakitangan yang ingin mendapatkan kemudahan itu perlu mengemukakan permohonan untuk pertimbangan dan kelulusan Ketua Jabatan masing-masing.
“Jika pegawai atau kakitangan mahu menggunakan kemudahan subsidi itu bercuti di luar negara, mereka perlu mematuhi prosedur tertentu.
“Mereka perlu mendapat kelulusan permohonan bercuti daripada ketua jabatan dan hendaklah menggunakan cuti rehat tahunan yang layak untuk sepanjang tempoh percutian serta memohon kelulusan atau kebenaran keluar negara selaras dengan dasar semasa,” katanya.