May 7, 2010

Guru lepasan KPLI tidak wajar jalani temu duga pelantikan

2010/05/06

ANAK saya seorang guru lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), dan melaporkan diri di sebuah sekolah kebangsaan pada 1 Ogos 2008.

Pada temu duga perlantikan pertama, dia gagal, bagaimanapun, bagi temu duga kali kedua, dia lulus. Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) kemudian melantik anak saya pada 1 September 2009, iaitu setahun dari tarikh beliau melapor diri.

Berikutan tempoh perlantikan itu, bermakna anak saya mengalami kerugian kira-kira RM10,000 dan hilang kekananan dan lambat setahun untuk dapat ‘time base’ bagi DG44 dan DG48.

Apakah dasar yang diguna oleh SPP mesti menemuduga guru, semata-mata untuk membuat pelantikan, adakah ia satu dasar yang baik?



Guru KPLI perlu mengambil MTest, temu duga oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan lulus kursus KPLI di maktab. Adakah ini semua belum cukup syarat untuk dilantik sebagai guru? Adakah temu duga oleh BPG ini tidak diiktiraf oleh SPP?

BPG sudah ada ‘Punca Kuasa’, bagi ia menemuduga bakal pendidik. Saya difahamkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak mengadakan menemuduga apabila mahu melantik pegawai PTD itu, memadai dengan temu duga kali pertama.
Temu duga bagi tujuan pelantikan ini hanya dilakukan oleh SPP. Ini peraturan lapok dan zalim. Bagi saya, temu duga itu bukan untuk meluluskan guru, tapi untuk menggagalkan guru.

Temu duga untuk perlantikan ini hanya boleh dilakukan kepada guru yang mengambil kursus perguruan di universiti dan guru lepasan Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) dan bukan guru lepasan KPLI.

Melalui nukilan ini, saya meminta SPP, Menteri Pelajaran dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mengkaji balik peraturan temu duga ini.

Pihak terbabit perlu mencari jalan penyelesaian agar guru KPLI tidak ditemuduga bagi kali kedua. Semata-mata untuk membuat perlantikan.

Mansuhkan peraturan ini mulai 1 Januari 2008. Guru lepasan KPLI boleh terus dilantik pada bulan kedua selepas dia melapor diri.

Semua langkah itu, barulah bersesuaian dengan dasar kerajaan sekarang, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Maafkan saya jika luahan ini menyongsang arus, melanggar adat dan budaya. Ia dibuat dengan niat untuk menyelamat ramai guru daripada menjadi mangsa peraturan lapok ini.

IBU PRIHATIN,
Pahang.


source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/GurulepasanKPLItidakwajarjalanitemudugapelantikan/Article/

No comments: