Jun 16, 2010

Syor cuti bersalin 90 hari tak rasional

2010/06/15

MENGENAI isu cuti bersalin 90 hari, saya berharap semua pihak dapat melihat kepada pepatah ini ‘berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah’ sebagai tepat untuk isu ini yang dibangkitkan baru-baru ini.

Walaupun pelbagai kajian diutarakan, kehidupan perlu berdasarkan realiti dan bukan andaian semata-mata. Beberapa alasan yang dilontarkan untuk menyokong pelaksanaannya amat tidak rasional.

Antara persoalannya, adakah Malaysia perlu meniru apa saja yang dilakukan oleh negara luar tanpa mampu membuat keputusan sendiri? Adakah kempen susu ibu termasuk program perahan susu ibu atau expressed breast milk anjuran Kementerian Kesihatan sejak 1990-an sudah menemui jalan buntu?



Berapa ramai ibu yang gagal menyusu dalam tempoh 60 hari akan menyusu sepenuhnya jika diberikan cuti 90 hari? Daripada pengalaman saya, selepas seminggu bersalin, kebanyakan ibu mampu memasak dan melakukan kerja rumah yang ringan tetapi kenapa tidak mampu kembali bekerja selepas 60 hari?

Sistem peranakan termasuk uterus akan mengecut ke saiz asal selepas 42 hari saja. Saya sendiri sudah boleh memandu dan kembali bekerja lebih sembilan jam sehari selepas 20 hari bersalin.

Keharmonian keluarga bukan terletak pada kuantiti masa diluangkan bersama keluarga tetapi kualiti kerohanian, kasih sayang dan perhatian. Adakah bayi yang kononnya lebih sihat ini tidak akan membesar sebagai warga Malaysia yang rosak akhlaknya?

Saya berpendapat implikasinya cuti bersalin selama 90 hari akan membuatkan majikan memilih pekerja perempuan yang tidak berkahwin atau pekerja lelaki. Selain itu, sistem kontrak akan dilaksanakan dan pekerja wanita yang berkahwin tidak akan disambung kontraknya.
Wanita tidak bersalin atau golongan lelaki terpaksa menanggung beban tugas ibu yang ‘bercuti’ ini, manakala, guru wanita dalam tempoh reproduktif tidak wajar ditugaskan pada tahun peperiksaan penting kerana berpotensi menjejaskan kesinambungan pembelajaran.

Jika kerajaan menanggung gaji ibu ini, wang siapakah yang bakal digunakan? Ahli politik, ulama dan cendekiawan perlu mengenal pasti masalah utama kita terutama gejala sosial dan menanganinya bersama bukan memperjuangkan isu remeh berbaur politik.

Kepentingan seluruh rakyat Malaysia mesti diambil kira. Saya pasti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 tidak mengharapkan warga Malaysia Maju 2020 yang terpesong akidah, rosak akhlak, dan hancur di tanah air sendiri.

Saya amat mengharapkan pandangan ini mampu membantu pembuat dasar membuat keputusan yang mengambil kira kepentingan semua golongan dan tidak hanya menumpukan perhatian kepada golongan tertentu.

SITI,
Jerlun, Kedah.

No comments: