A: PENGENALAN
MTeST merupakan singkatan bagi “Malaysian Teacher Selection Test” (Ujian Pemilihan Calon Guru Malaysia). Ujian ini digunakan sebagai saringan awal untuk calon yang memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) di institut/ maktab perguruan Malaysia. Calon yang telah menduduki ujian dan mencapai tahap yang ditetapkan sahaja akan dipanggil temu duga.
B: KOMPONEN DAN TEMPOH MENJAWAB MTeST
Terdapat lima komponen dalam MTeST iaitu:
- Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK)
- Kuantitatif
- Bahasa Inggeris
- Analitikal
- Verbal (Bahasa Melayu)
Kelima-lima komponen ini dimuatkan dalam lima buah buku seperti berikut:
Buku A: INSAK
Buku B: Kuantitatif
Buku C: Bahasa Inggeris
Buku D: Analitikal
Buku E: Verbal
Tempoh keseluruhan ujian ialah selama 2 jam 30 minit.
Buku | Komponen | Jumlah Soalan | Masa (minit) |
A | INSAK | 135 | 30 |
B | Kuantitatif | 30 | 30 |
C | Bahasa Inggeris | 25 | 30 |
D | Analitikal | 20 | 30 |
E | Verbal | 25 | 30 |
C: TARIKH DAN TEMPAT MTeST DIADAKAN
Tarikh dan pusat ujian akan ditentukan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Pemohon boleh memohon tempat ujian dalam e-permohonan. Walau bagaimanapun Bahagian Pendidikan Guru berhak menentukan tempat calon menduduki ujian.
D: SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MENDUDUKI MTeST
Calon yang memenuhi syarat iklan seperti berikut layak menduduki MTeST:
Syarat dan Kelayakan Asas
i. Warganegara Malaysia
ii. Berumur tidak melebihi 35 tahun pada 28 Jun 2010 iaitu lahir pada atau selepas 28 Jun 1975.
iii. Memiliki Ijazah Sarjana Muda atau Setaraf dengannya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta tempatan atau luar negara.
iv. Memiliki ijazah yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Pemohon perlu merujuk laman sesawang JPA di alamat berikut: http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp
v. Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM atau SPM(V) serta lulus ujian lisan atau Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM.
vi. Lulus Bahasa Inggeris di peringkat SPM atau SPM(V).
Syarat Tambahan
i. Calon hendaklah sihat bfizikal dan mental.
ii. Calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan PNGK 2.75 ke atas diberi keutamaan.
iii. Calon hendaklah aktif dalam kegiatan kokurikulum.
iv. Calon yang memiliki ijazah yang bertepatan dengan bidang pengkhususan dan pengalaman mengajar akan diberi wajaran tertentu.
v. Calon hendaklah bersediakan ditempatkan di mana-mana sekolah termasuk di kawasan pedalaman.
Calon yang layak dikehendaki mencetak tiket panggilan ujian daripada internet untuk menduduki MTeST.
E: BAYARAN UJIAN
Tiada bayaran dikenakan kepada calon yang menduduki MTeST.
F: PERATURAN MTeST
Calon yang layak untuk menduduki MTeST perlu mematuhi peraturan-peraturan berikut:
i. Calon diwajibkan membawa bersama tiket panggilan ujian yang dicetak dan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang diiktiraf semasa ujian.
ii. Calon mesti mengguna pensel 2B untuk menjawab semua soalan dalam borang jawapan OMR yang disediakan.
iii. Calon hendaklah berpakaian kemas dan sesuai dengan profesion perguruan ketika menghadiri ujian.
iv. Calon hendaklah hadir 30 minit sebelum ujian bermula.
G: KEPUTUSAN MTeST
Maklumat calon yang berjaya untuk dipanggil temu duga akan disiarkan dalam laman web kementerian:
H: HURAIAN KOMPONEN MTeST
Inventori Sahsiah Keguruan (INSAK)
Rasional
Calon perlu memiliki ciri-ciri sahsiah yang terpuji, positif serta kesediaan yang tinggi untuk memikul tanggungjawab sebagai guru. INSAK merupakan ujian bagi mengesan kesesuaian sahsiah calon untuk profesion keguruan. Komponen ujian ini mengandungi gagasan amanah, taat setia, ikhlas dan dedikasi, kawalan emosi, disiplin, kepekaan, kepimpinan, motivasi, kreatif dan inovatif serta kematangan fikiran. Komponen INSAK merupakan teras dalam MTeST dan calon perlu mencapai tahap yang ditetapkan.
Objektif
Komponen ujian ini bertujuan
- memilih calon selaras dengan keperluan profesion keguruan;
- mengenalpasti calon yang mempunyai sahsiah yang sesuai dalam bidang keguruan.
Format Soalan
Jumlah soalan: 135
Masa: 30 minit
Bentuk soalan: Soalan objektif dengan dua pilihan jawapan
Panduan Menjawab Soalan
Calon dikehendaki menjawab
- secara spontan
- purata 4 – 5 soalan dalam masa 1 minit
KUANTITATIF
Rasional
Kebolehan untuk memanipulasi data atau maklumat seperti membuat perbandingan antara dua kuantiti, mentafsir data dan menyelesai masalah dianggap sebagai kemahiran asas bagi semua bakal guru. Keupayaan ini membolehkan mereka membuat keputusan dengan lebih tepat, cekap dan berwibawa.
Objektif
Komponen ini bertujuan mengenal pasti dan memilih calon guru yang boleh
- mengaplikasi asas-asas matematik sekolah menengah (Aritmetik, Algebra dan Geometri) dalam pelbagai situasi;
- membuat perbandingan antara dua kuantiti;
- membaca, mentafsir dan membuat analisis carta, jadual, graf atau rajah;
- menyelesaikan masalah yang melibatkan penggunaan data;
- membuat ramalan berdasarkan maklumat kuantitatif dan;
- membuat keputusan yang terbaik berdasarkan maklumat kuantitatif.
Format
Komponen kuantitatif mengukur pengetahuan, kefahaman konsep dan kemahiran asas matematik. Komponen ini menggunakan jenis soalan yang berbentuk
- perbandingan kuantitatif - 15 soalan
- penyelesaian masalah &
mentafsir data. - 15 soalan
Jumlah soalan: 30
Masa: 30 minit
Bentuk soalan: Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan
Panduan Menjawab Soalan
Calon diingatkan
- tidak membazir masa membuat pengiraan yang terlalu tepat untuk membanding dua kuantiti;
- mempertimbang semua jenis nombor sebelum membuat keputusan;
- gambar rajah geometri tidak dilukis mengikut skala;
- perbandingan perlu dibuat berasaskan pengetahuan matematik.
BAHASA INGGERIS
Rasional:
Bahasa Inggeris merupakan bahasa ilmu yang digunakan di peringkat global. Oleh yang demikian amatlah penting bagi calon yang mengikuti kursus di maktab perguruan mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa tersebut untuk membolehkan mereka mendapat maklumat daripada pelbagai sumber.
Objektif
Komponen ini bertujuan memilih calon yang mampu:
- mengesan dan memperbaiki kesilapan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai situasi;
- menggunakan bahasa Inggeris yang gramatis dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Format
Terdapat tiga jenis item:
§ Error identification - 10 soalan
§ Improving sentences - 10 soalan
§ Improving paragraph - 5 soalan
Jumlah soalan: 25
Masa: 30 minit
Bentuk soalan: Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan
Panduan Menjawab Soalan
Candidates are required to:
- answer three types of item i.e. Error Identification, Improving Sentences and Improving Paragraph;
- read the instructions for each item carefully;
- choose/select the best answer from the four options given in each question.
ANALITIKAL
Rasional
Keupayaan analitikal merupakan daya taakulan seseorang yang menjadi asas pembentukan manusia yang saintifik, progresif dan berkeyakinan terhadap kemampuan diri untuk membolehkannya berdaya suai, berwawasan dan berteknologi tinggi.
Objektif
Komponen ini bertujuan mengenal pasti dan memilih calon guru yang berpotensi serta mempunyai keupayaan analitikal dan logikal.
Format
Komponen ini mengandungi 2 bidang
- Analitikal - 16 soalan
- Logikal - 4 soalan
Jumlah soalan: 20
Masa: 30 minit
Bentuk soalan: Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan
Panduan Menjawab Soalan
Calon dingatkan bahawa soalan
- analitikal adalah berdasarkan rangsangan atau penyataan dan diikuti dengan beberapa soalan. Membuat rajah, jadual atau membuat catatan ringkas akan membantu calon menjawab soalan jenis analitikal;
- logikal adalah berdasarkan rangsangan atau penyataan dan diikuti dengan satu soalan.
VERBAL
Rasional
Kemahiran verbal mencakupi aspek komunikasi yang menjadi asas penting bagi setiap individu untuk berinteraksi antara satu sama lain. Sehubungan itu, seseorang calon guru haruslah menguasai kosa kata yang sempurna serta dapat menghubungkaitkannya melalui komunikasi. Komponen ini akan menilai kemampuan calon menguasai kemahiran tersebut. Penguasaan verbal bertujuan menguji tahap kemahiran menghubung kait, menaakul dan menguasai kosa kata.
Objektif
Komponen ini bertujuan
- mengenal pasti tahap taakulan verbal calon sebagai alat komunikasi;
- mengesan kemampuan calon untuk bertindak secara matang, rasional dan profesional;
· membolehkan calon mengaplikasikan kemahiran verbal secara berkesan.
Format
Komponen verbal mengandungi 3 bidang :
- Analogi – 15 soalan
- Melengkapkan Ayat – 5 soalan
· Kefahaman – 5 soalan
Jumlah soalan: 25
Masa: 30 minit
Bentuk soalan: Soalan objektif dengan empat pilihan jawapan
Panduan Menjawab Soalan
Calon diingatkan bahawa soalan
- analogi memfokuskan pasangan perkataan atau rangkai kata yang memperlihatkan unsur hubungan tertentu.
- melengkapkan ayat terdiri daripada satu ayat majmuk dengan satu atau dua tempat kosong
- kefahaman menguji sejauh mana calon memahami sesebuah petikan.
No comments:
Post a Comment