2010/05/24
SAYA ingin menarik perhatian pembaca mengenai cadangan Kementerian Pelajaran iaitu guru wajib mendapatkan lesen perguruan yang menyamai amalan bidang profesional seperti kedoktoran dan undang-undang.Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).
Saya berpendapat, sebelum membantah semua cadangan, ada baiknya kita perhalusi rasional cadangan itu. Daripada pandangan kasar, cadangan itu seperti menambah beban guru. Tentu ada guru yang berkata, jika sudah ada ijazah, apa perlunya lesen?
Sudah bertahun-tahun guru melalui NUTP memperjuangkan pelbagai isu perguruan; gaji, bonus, perjawatan dan beban tugas. Bagi saya, isu lesen perguruan membantu menyelesaikan masalah itu pada jangka masa panjang.
Jika perlu mendapat lesen, guru tergolong dalam kumpulan profesional seperti doktor, jurutera, arkitek dan peguam. Selepas itu, barulah guru tidak boleh disuruh membuat kerja tidak berkaitan kerana sebagai tenaga profesional, mereka harus membuat tugasan berkaitan bidang tugasnya saja, bukan bidang lain seperti perkeranian.