Dec 2, 2010

Wajar terap pendidikan seks menerusi KSSR

2010/12/02
KEPINCANGAN sosial dalam masyarakat hari ini semakin serius. Sedar atau tidak, sebahagian besar golongan terbabit dalam pelbagai gejala sosial ialah remaja dan belia.

Gejala pembuangan bayi, seks bebas, rogol, cabul dan lari dari rumah adalah antara masalah sosial yang semakin menjadi lumrah untuk ditatap dalam akhbar. Sesuatu yang menyedihkan ialah pembabitan golongan remaja dalam gejala seumpama ini adalah sangat tinggi.

Seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, remaja seawal usia 13 tahun juga boleh terjerumus dalam kegiatan seks bebas. Lebih menyedihkan apabila hubungan terlarang bersama rakan sekelasnya itu menyebabkan remaja perempuan terbabit hamil.

Perkara seumpama ini boleh berlaku pada diri seorang remaja kerana kurangnya pengetahuan mengenai pendidikan seksual. Ibu bapa pula sering menganggap seks sebagai suatu isu yang ‘taboo’ untuk dibicarakan bersama anak.

Justeru, perasaan ingin tahu yang tinggi serta dorongan pelbagai anasir negatif dari media cetak dan elektronik mengakibatkan remaja bawah umur terjebak dalam gejala seksual dengan mudah.

Oleh itu, penerapan pendidikan seks menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan diperkenalkan kepada murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 adalah wajar.

Menerusi pendidikan seks ini sebanyak enam tunjang disenaraikan sebagai teras pengisian kurikulum yang mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya. Kesemua enam aspek ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam.

Diharapkan pengetahuan yang sewajarnya dapat disalurkan dengan penuh berhemah dan berhikmah agar objektif pengenalan pendidikan ini dapat dicapai seterusnya melahirkan murid yang dapat membezakan antara baik dan buruk menerusi pendidikan seks yang diajar.

ENGKU MUZAHADIN,
Universiti Putra Malaysia.

source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/WajarterappendidikanseksmenerusiKSSR/Article/index_html

No comments: