Dec 2, 2010

Kecewa calon cemerlang, tajaan kementerian gagal temu duga

2010/12/02

SAYA graduan pendidikan lepasan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS). Apa yang saya ingin kongsi di sini mengenai pengalaman saya dan rakan mengikuti temu duga Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang dikendalikan Kementerian Pelajaran.

Pada 2 dan 5 Ogos lalu, seramai 400 graduan pendidikan dari UMS mengikuti sesi temu duga di Politeknik Kota Kinabalu dan beberapa pusat temu duga lain di seluruh negara.

Namun, kami kecewa disuruh pulang kerana tarikh senat pada keputusan peperiksaan kami tidak menepati tarikh yang Kementerian Pelajaran kehendaki. Kami akur, pulang dan berusaha berhubung dengan kementerian untuk mengadakan sesi temu duga khas.

Permohonan kami diluluskan dan sesi temu duga kedua diadakan pada 17 dan 19 Ogos lalu di UMS. Bayangkan pelajar dari seluruh negara, terpaksa menghabiskan wang untuk menghadiri temu duga yang hanya dijalankan di satu pusat temu duga.

Tetapi dengan kesungguhan dan komited kami untuk menjadi seorang guru, kami gagahi juga. Terima kasih kepada kementerian berkenaan hal ini.

Namun, sekali lagi kami kecewa apabila keputusan temu duga ramai gagal. Hampir separuh gagal dan apa yang lebih menghairankan kebanyakan calon yang gagal adalah mereka yang mempunyai mata Purata Gred Kumulatif (CGPA) tiga dan ke atas, aktif dalam aktiviti program kampus dan lain-lain.

Ada juga bekas ahli majlis perwakilan pelajar (MPP), namun saya amat hairan atas alasan apa kami semua boleh gagal. Adakah dengan sesi temu duga yang dijalankan hanya dalam masa kurang dari 10 minit menjadi ukuran keseluruhan untuk seorang calon berjaya?
Adakah wajar begitu? Ada juga di kalangan kami adalah pelajar tajaan kementerian namun masih boleh gagal. Saya amat hairan dan rasa terpanggil untuk mendapatkan jawapan. Adakah calon yang diambil ini berdasarkan yang menghafal teori semata-mata?

Kalau mengikut sistem meritokrasi sekali pun, bagaimana mereka yang mempunyai CGPA tiga dan ke atas serta aktif dalam aktiviti kampus boleh gagal. Kami sudah banyak kali berhubung dengan pihak berkenaan mengenai perkara ini, namun maklum balas yang diberikan amat mengecewakan.

Kami kecewa kerana kami komited dan bersedia untuk berbakti kepada negara.
Saya berharap pihak yang berkenaan dapat melihat semula keadaan ini serta mengelakkan perkara sama berulang.

GRADUAN KECEWA,
Kota Kinabalu, Sabah.

source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kecewacaloncemerlang_tajaankementeriangagaltemuduga/Article/

No comments: