Aug 29, 2011

2 daerah kurang guru bahasa Inggeris

2010/12/18

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran semalam menjelaskan pelaksanaan penempatan semula guru ke daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam, Selangor perlu dilakukan untuk menampung kekurangan guru bahasa Inggeris yang amat kritikal di kedua-dua daerah terbabit.

Kenyataan Kementerian Pelajaran menyebut, guru yang ditempatkan semula itu dari daerah yang berlaku lebihan guru bahasa Inggeris dengan ketara seperti daerah Klang, Petaling Perdana, Petaling Utama dan Hulu Langat.
“Pelaksanaan penempatan semula ini adalah satu langkah proaktif untuk memastikan dasar Memperkasakan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dapat dilaksanakan dan mencapai matlamatnya,” kata kenyataan itu.
Penempatan semula guru itu turut membabitkan guru-guru opsyen Bahasa Malaysia yang berlebihan di daerah seperti Sabak Bernam dan Kuala Langat yang perlu diagihkan ke daerah lain.

Kenyataan itu menyebut, semua guru terbabit diberi peluang membuat rayuan.
Akhbar semalam melaporkan, 100 orang guru merangkumi 84 guru bahasa Inggeris dan 16 guru bahasa Malaysia tidak puas hati akibat dipindahkan ke sekolah baru yang jauh dari tempat tinggal mereka. – BERNAMA

source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2daerahkuranggurubahasaInggeris/Article/

No comments: