Aug 29, 2011

Banyakkan buku Sains, Matematik dalam bahasa Melayu

2010/05/15

KUALA LUMPUR : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diminta menerbitkan lebih banyak buku Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu untuk kegunaan pelajar sekolah rendah dan menengah selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presiden Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia, Jemale Paiman berkata, DBP tidak seharusnya membiarkan tanggungjawab itu kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), sebaliknya berganding bahu memperbanyakkan penerbitan buku itu di pasaran.
Beliau berkata, pada masa sama, ia turut menggalakkan lebih ramai penulis di kalangan pakar dan guru dalam bidang berkenaan untuk menulis dan menerbitkan buku itu rujukan pelajar.
Katanya, menerusi kerjasama itu, DBP selaku agensi bertanggungjawab dapat memastikan buku Sains dan Matematik yang diterjemahkan itu bukan saja bermutu tetapi menepati kehendak persekitaran di negara ini.

“Kita tidak mahu buku ini diterjemahkan secara terus dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu tanpa dilakukan sebarang pengolahan sewajarnya, sedangkan kita mahu penterjemahan buku Sains dan Matematik dibuat dalam bahasa mudah difahami pelajar berkenaan.



“Justeru, kita berharap dalam tempoh beberapa tahun akan datang, DBP mampu melahirkan ramai penulis berkaliber untuk menghasilkan buku teks atau rujukan dalam bahasa Melayu, sekali gus memastikan buku terbitan DBP berada di pasaran menjelang 2012,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Pengarah ITNM, Mohd Khair Ngadiron berkata, buku Sains dan Matematik yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu selepas pemansuhan PPSMI akan berada di pasaran pertengahan tahun depan.
Beliau berkata, sehingga kini 40 judul buku Sains dan Matematik yang sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu untuk pelajar sekolah rendah sudah berada di pasaran dan orang ramai boleh membelinya di ITNM atau pembelian secara dalam talian, manakala buku Sains dan Matematik untuk kegunaan pelajar sekolah menengah pula dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

Jemale berkata, pihaknya turut mengalu-alukan langkah ITNM melakukan penterjemahan kedua-dua buku itu dalam bahasa Melayu berikutan agensi itu badan profesional yang diperakui dalam bidang penterjemahan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, terjemahan buku Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sebagai langkah awal untuk memartabatkan bahasa Melayu khususnya dalam kedua-dua bidang berkenaan.

“Kita berharap suara sumbang sebelum ini yang tidak bersetuju dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Melayu, tidak perlu dilayan sama sekali kerana pengajaran dalam bahasa ibunda ini akan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif pada masa depan,” katanya.

source:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BanyakkanbukuSains_MatematikdalambahasaMelayu_/Article/

No comments: