Nov 2, 2010

Guna kaedah kreatif jauhkan pelajar daripada dadah

ARKIB : 20/10/2010

KUALA LIPIS 19 Okt. - Golongan pendidik perlu menggunakan pendekatan yang kreatif dalam usaha menjauhkan pelajar daripada terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman berkata, guru perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan perkembangan semasa kerana usaha membanteras penyalahgunaan dadah bermula daripada kesedaran di peringkat sekolah.

Beliau berkata, bakal guru sewajarnya melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran kerana usaha mendidik serta menerapkan kesedaran pelajar memerlukan kesungguhan.

''Guru antara insan pertama yang boleh membentuk sahsiah dan pembinaan insan anak-anak terutama dalam menghindarkan diri daripada perlakuan yang tidak sihat.

''Sama ada menerusi subjek bahasa Melayu, Sains dan Matematik atau kegiatan kokurikulum, usaha menyuntik kesedaran terhadap bahaya penyalahgunaan dadah perlu disampaikan kepada pelajar setiap masa," katanya.



Beliau berkata demikian ketika menutup Program Pendidikan Pencegahan Dadah anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) di sini baru-baru ini.

Seramai 76 penuntut Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pengambilan Januari lalu yang mengikuti kursus Pengajian Melayu, Pengajian Tamil, Pengajian Cina dan Bimbingan dan Kaunseling terbabit dalam program sehari yang dikendalikan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang.

Hadir sama, Pengarah IPGTAA, Datuk Mazlan Mohamad, Pensyarah Penyelaras, Shafie Majid dan ketua program, Chong Wei Siang.

Menurut Mohamad Shahrom, usaha kerajaan membanteras penyalahgunaan dadah bukan sahaja menerusi penyediaan kelengkapan lojistik, penguatkuasaan dan kempen semata-mata tetapi memerlukan kemahiran memberi kesedaran dan nilai keinsafan bermula di peringkat kanak-kanak dan remaja.

Sehubungan itu, katanya, tugas guru ialah menggunakan pendekatan yang kritis dan kreatif untuk menyuntik kesedaran pelajar supaya menghindari penyalahgunaan dadah termasuk merokok.

Sementara itu, Mazlan berkata, program itu merupakan antara usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bakal guru sebelum memasuki dunia pendidikan sebenar di sekolah selepas tamat KPLI tidak lama lagi.

''Kita menggalakkan pembabitan penuntut KPLI dalam setiap program dan wacana agar mereka bersedia dengan bekalan pengetahuan dan kemahiran apabila keluar mengajar serta menjadi ejen perubahan masyarakat di luar sana," katanya.

Justeru, tambahnya, pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di IPGTAA merupakan proses pembangunan sahsiah sekali gus melahirkan bakal pemimpin yang mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang guru kelak.

Wei Siang pula berkata, kursus itu amat penting untuk memupuk kesedaran terhadap bahaya penyalahgunaan dadah di kalangan penuntut KPLI di samping menerapkan pengetahuan berguna.

''Bekalan pengetahuan ini penting bagi kami memberi bimbingan dan nasihat kepada pelajar supaya menjauhi kegiatan penyalahgunaan dadah yang merosakkan kehidupan seseorang," katanya.

Sebagai guru dan bakal pemimpin, tambahnya, sikap kesukarelaan perlu digalakkan dalam usaha membantu kerajaan membanteras penyalahgunaan dadah seterusnya mendidik masyarakat terhadap amalan gaya hidup sihat.

No comments: